Sejarah dan latar belakang
Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 M. Pengajian peringkat awalnya bermula di bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqah, dan perobatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk
falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada
sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.
Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit
Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain.
Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya
sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
Sumbangan
Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya AL- Qanun fi Al- Tibb ("Kanun") telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggris dengan judul Precepts of Medicine.
Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke
dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan
sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan.
Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul al-Adwiyat al-Qalbiyyah
("The Remedies of the Heart") yang mengandungi sajak-sajak perubatan.
Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis
penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina
sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja, tetapi turut
merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi,
philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama. Ini dapat diperhatikan dalam sebuah lagi kitab agung beliau berjudul kitab Al-Syifa (کتاب الشفاء) yang memuatkan penulisan berkaitan sains dan falsafah.
Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya
seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar
menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap kemuncak (zenith) iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.
Di samping menjadi puncak dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga
menduduki kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu logik (mantik)
sehingga digelar "Guru Ketiga" dibelakang Aristotle dan Al-Farabi.
Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya
termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.
Penulisan lain
Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah
yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina
banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah
menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan
Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perobatan Yunani khususnya Hippocrates.
Teori perubatan
Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humor yaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile).
Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan
campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus
berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu
maka seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang
berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah
meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal
pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis
teori-teori kosmogoni Yunani ini dan "mengislamkannya".
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur yaitu tanah, air, api dan angin.
Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan
kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam
alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam
tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan
unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang
kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Falsafah
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan
Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah.
Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal
Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah
Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian.
Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu
berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam Al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam
buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan
sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak
boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina,
segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.
Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib
al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau
bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk
melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan
ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab Himah Ilahiyyah dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan".
Pemikiran Ibnu Sina ini telah mencetuskan kontroversi dan telah
disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah.
Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'falasifah ("Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah") untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.
Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah
penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi,
penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai
pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan
di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam
perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau
boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu
falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja
unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah
mengatasi gurunya sendiri yaitu Abu Al-Nasr (al-Farabi).
http://ms.wikipedia.org
0 komentar:
Posting Komentar